Terdapat ralat dalam alat ini

Salam Perpaduan

Selamat Datang ke laman blog Kawasan Rukun Tetangga Taman Nikmat Kota Belud. Blog ini adalah bertujuaan untuk menyebarkan maklumat tetang Skim Rondaan Sukarela(SRS) dan aktiviti yang dijalankan oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Nikmat. Diharapkan kepada semua penduduk Kawasan Rukun Tetangga Taman Nikmat khasnya mahupun seluruh negara amnya, dapat mengetahui pelbagai berita dan aktiviti serta dapat menjadikan blog ini sebagai satu saluran komunikasi antara penduduk dan Kawasan-Kawasan Rukun tetangga yang lain serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Kami amat mengalu-alukan Penduduk KRT Taman Nikmat melayari blog Srs Krt Taman Nikmat Kota Belud ini untuk memperolehi maklumat-maklumat terkini.

"Jiran Sepakat Membawa Berkat"


KATA-KATA ALUAN PENGERUSI

Assalamualaikum... Salam Perpaduan... Salam Satu Malaysia!

Saya mengalu-alukan kedatangan semua Penduduk Kawasan Rukun Tetangga Taman Nikmat untuk berkunjung ke setiap program yang dijalan oleh Ahli Jawatan Kuasa KRT Taman Nikmat. Kunjungan saudara-saudara ke Program yang dijalankan akan mengeratkan lagi silaturahim seperti yang dikehendaki oleh setiap penduduk. Aktiviti ini bukan sahaja mewujudkan integrasi antara kaum malah akan membantu kerajaan mencapai matlamat merangsang keharmonian yang sedia ada. Dalam Kesempatan ini, sama-sama lah kita membantu Skim Rondaan Sukarela yang terdapat dalam Kawasan Rukun Tetangga Taman Nikmat dan digalakan untuk menyertai Skim Rondaan Sukarela ini. Jadikanlah kunjungan anda ke aktiviti yang dijalankan oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Nikmat Kota Belud sesuatu yang menyeronokkan.

Sekian.

"Keselamatan Kejiranan Tanggungjawab Bersama"

Mahmudin Hj Md Onon

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga

Taman Nikmat Kota Belud

Ahad, 31 Disember 2017

OPERASI BERSEPADU PENCEGAHAN JENAYAH RONDAAN TAHUN BARU 2018 PERINGKAT KRT TAMAN NIKMAT

Tahun baru 2018 dimulakan dengan program rondaan 'Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah' peringkat KRT Taman Nikmat.

Disertai oleh anggota IPD Kota Belud, anggota RELA dan anggota SRS bersama sama membuat rondaan dan sekatan jalan masuk keluar Taman Nikmat. 

Menurut Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Mahamudin Bin Hj. Mohd Onon, program ini adalah daripada kesinambungan Program Kempen Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti peringkat KRT Taman Nikmat telah diadakan. Program yang diinspirasikan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini di implementasi SRS KRT Taman Nikmat bagi memastikan jenayah harus dihapuskan demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti berada didalam tahap yang terbaik. Adapun bukan mudah untuk mengatasi kesemua permasalahan jenayah, namun ini adalah langkah yang lebih proaktif dengan menepati objektif program ini menjadi sasaran. 

Rondaan ini juga disertai oleh Assistance Superintendent Polis (ASP) Ong Kian Tok, Timbalan Ketua Polis Daerah dan juga merangkap Ketua Bahagian Pengerusan Daerah.

Turut hadir sama dalam program ini SJN Zainuddin Bin Jamal dari HEA IPD Kota Belud,Timbalan Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Asran Bin Hj Suin, Setiausaha KRT Taman Nikmat En. Nasdin Bin Pumpunga, Bendahari KRT Taman Nikmat En. Rahim Bin Sahali, AJK tertinggi KRT Taman Nikmat, Jiran Muda dan warga KRT Taman Nikmat.










 

Ahad, 17 Disember 2017

PROGAM KEMPEN PENCEGAHAN JENAYAH DAN KESELAMATAN KOMUNITI PERINGKAT KRT TAMAN NIKMAT KOTA BELUD


Program Kempen Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti peringkat KRT Taman Nikmat telah diadakan.

Menurut Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Mahamudin Bin Hj. Mohd Onon, kempen ini melibatkan 98 Kawasan Parlimen kesemuanya dan KRT Taman Nikmat di dalam Parlimen Kota Belud turut menyahut inspirasi murni Kerajaan ini. SRS KRT Taman Nikmat khususnya sudah sekian lama dibentuk dan terlibat sebelum ini beriltizam mengangkat lagi kualiti SRS di Taman ini selari dengan tema kempen “SRS Melastarikan Keselamatan Komuniti”. Melestarikan keselamatan dan membasmi jenayah tentu sekali akan terus dilaksanakan dari masa ke semasa.

Dalam ucapan perasmian program Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen P.169 Kota Belud Tuan Mohd. Nazrul Hizam Bin Ahmad  yang mewakili Ahli Parlimen P.169 Kota Belud YB. Datuk Seri Abdul Rahman Bin Hj. Dahlan berkata dengan adanya kempen sebegini, tentu sekali keselamatan dalam komuniti dapat dikekalkan. Begitu juga keharmonian dan kesatuan juga dapat dipelihara dengan baik. Kempen ini melalui inspirasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) menterjemahkan kesungguhan Kerajaan kini dalam menyentuh setiap sudut aspek permasalahan rakyat.

Turut hadir sama dalam program ini Insp. Suhaiyu Binti Mohd. Sufian dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Belud. En. Zakaria Bin Jamlin dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud En. Bisi Bin Jamit,Timbalan Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Asran Bin Hj Suin, Bendahari KRT Taman Nikmat En. Rahim Bin Sahali, AJK tertinggi KRT Taman Nikmat dan warga KRT Taman Nikmat. 










Rabu, 6 September 2017

KRT TAMAN NIKMAT MEWAKILI PERINGKAT PANTAI BARAT UTARA SABAH SEMPENA PERTANDINGAN KECERIAAN NEGARAKU SEMPENA HARI KEBANGSAAN 2017

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Nikmat telah dipilih mewakili Bahagian Pantai Barat Utara dalam Pertandingan Keceriaan Negaraku Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri dalam kategori Taman-taman Perumahan.

Menurut Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Mahamudin Bin Hj. Mohd. Onon, seperti mana Hari Malaysia tahun tahun sebelum ini, KRT Taman Nikmat sememangnya sangat konsisten mengibarkan Jalur Gemilang ke seluruh pelusuk taman perumahan. Kibaran bendera Negara dan Negeri secara psikologinya menanam secara langsung semangat patriotik dan cintakan negara amnya dan negeri khususnya. KRT Taman Nikmat sangat berbesar hati diatas pemilihan ke pertandingan ini dan secara langsung ini sangat membantu untuk mengekalkan konsistensi dan motivasi warga KRT Taman Nikmat di masa akan datang.

Pegawai Penilai dari Ibupejabat Jabatan Penerangan Kota Kinabalu diketuai Puan Chindarayareh Jinti, En. Ruspi dan En. Johny sebagai jurugambar penilai. Turut sama dalam pengiring penilai En. Awang Masri dari Jabatan Penerangan Kota Belud, AJK KRT Taman Nikmat, Jiran Muda dan Guru KAFA Tabika KRT Taman Nikmat.  







Jumaat, 21 Julai 2017

LAWATAN SAMBIL BELAJAR DAN INTEGRASI JAWATANKUASA PERMUAFAKATAN RUKUN TETANGGA DAERAH KOTA BELUD SABAH KE SEMENANJUNG MALAYSIA

Satu lawatan ke Semenanjung Malaysia akan bakal diadakan oleh Jawatankuasa Permuafakatan Rukun Tetangga Daerah Kota Belud bermula 24 Julai 2017 ini. Seramai 44 orang ahli jawatankuasa yang mengikuti lawatan ini bersama Pengiring Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud En. Mohd Bisi Bin Jamit. Turut mengikuti Ketua rombongan En. Sibil bin Uli, Penolong Ketua Rombongan Tuan Hj. Duyuk bin Hj Tahir, Setiausaha En. Mahamudin bin Hj Mohd Onon dan Bendahari Hj. Ramlee bin Marul. Lawatan bertumpu ke Utara Semenanjung Malaysia iaitu negeri seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dengan melawat Kawasan Rukun Tetangga yang terpilih di negeri-negeri ini.

Setiausaha RT Daerah merangkap setiausaha Lawatan Sambil Belajar ini En. Mahamudin bin Hj Mohd Onon berkata objektif utama dalam lawatan kali ini diadakan tentu sekali untuk mengeratkan tali silaturahim dan membawa mesej-mesej permuafakatan kepada sesama rakyat Malaysia. Meletakkan tinggi nilai keharmonian dan permuafakatan dalam kehidupan bermasyarakat dapat memberi impak kestabilan dari seluruh sudut untuk negara. Di Sabah kita terkenal dengan amalan hormat menghormati antara satu sama lain walaupun terdiri dari berbilang suku kaum. Oleh itu, secara tidak langsung menjadi tanggungjawab kita membawa nilai-nilai positif ini kepada semua am nya di negara kita. Kita juga berharap agar lawatan ini juga dapat memberi pengetahuan am dan belajar apa jua yang baik di tempat mereka. Juga ucapan jutaan terima kasih kepada wakil-wakil rakyat Negeri dan Parlimen Kota Belud atas kerjasama kepada Jawatankuasa Permuafakatan Rukun Tetangga Daerah Kota Belud.







Isnin, 26 Jun 2017

RUMAH TERBUKA SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI 2017 KRT TAMAN NIKMAT


Tradisi Rumah Terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri diteruskan oleh Kawasan Rukun Tetangga Taman Nikmat pada tahun ini yang diadakan di kediaman rumah Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Mahamudin Bin Hj. Mohd. Onon.Malah,lebih meriah kehadiran Pengunjung terdiri dari kaum keluarga, sahabat andai dan warga KRT Taman Nikmat dari pelbagai kaum dan bangsa turut telah mengunjungi rumah terbuka ini.

Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Mahamudin Bin Hj. Mohd Onon berkata, tradisi kunjung mengunjung di hari perayaan adalah satu amalan yang sudah dilakukan sejak dahulu lagi.Tahun tahun sebelumnya juga dirayakan dengan tradisi ini dan tiada perubahan walau sedikitpun. Hendaklah kita mempertahankan amalan mulia ini agar keharmonian yang dirasai terus berkekalan. Jangan biarkan perubahan zaman yang cepat berlaku ketika ini memakan tradisi dan amalan kita. Tidak kira, apapun perayaan dari agama dan bangsa yang ada kerana kunjung mengunjung adalah faktor besar untuk keharmonian sesama kita.

Seperti sebelumya, Pengerusi juga memberi sumbangan "Duit Raya" kepada kanak-kanak yang hadir untuk merasakan keseronokan berkunjung di hari raya. 

Turut hadir ke Majlis Rumah Terbuka ini ialah En. Risin Bin Itok, Pegawai Penggerak Perpaduan Daerah Kota Belud, AJK Tertinggi KRT Taman Nikmat, Jiran Muda, Jiran Wanita, Warga KRT Taman Nikmat,sahabat andai, kaum keluarga dan warga dalam dan luar Daerah Kota Belud













Isnin, 19 Jun 2017

PROGRAM JELAJAH RAMADHAN BERBUKA PUASA TELEKOM MALAYSIA KERJASAMA DENGAN KRT TAMAN NIKMAT KOTA BELUD

Baru ini, KRT Taman Nikmat dan Telekom Malaysia Berhad Sabah telah bersama sama mengadakan Program Berbuka Puasa Bulan Ramadhan bertempat di rumah Pengerusi KRT Taman Nikmat. Ini adalah program bersama julung kalinya diadakan.

Pengisian program dimulakan dengan Tazkirah sebelum berbuka. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Samsudin yang bertajuk 'Merebut 10 Malam Terakhir' ini menerangkan tentang kebaikan untuk beramal didalam 10 malam terakhir Ramadhan yang membawa kepada pahala yang sangat besar. Seterusnya, kesemua tetamu berbuka puasa sebaik sahaja Azan Maghrib berkumandang dan disusuli Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah. Solat Tarawih di Imamkan oleh Imam Muda AlHafiz Amirul Bin Abdullah dan dibilalkan oleh Saudara Ahmad Fikhri Bin Mahamudin yang kedua dua mereka merupakan ahli Jiran Muda bagi KRT Taman Nikmat. Selesai itu, Program diteruskan dengan penyampaian cenderahati dari Telekom Malaysia yang disampaikan oleh Tuan Wira Ayub, Timbalan Pengurus Besar Telekom Malaysia Sabah.

Menurut Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Mahamudin Bin Hj. Mohd Onon, Pengisian sebegini adalah pengisian rohani yang sangat baik dalam membantu meningkatkan amalan di Bulan yang mulia ini. Warga KRT Taman Nikmat gembira dengan adanya program sebegini dan tentu sekali ini juga bermanafaat kepada pihak Telekom Malaysia kerana Syarikat Telekomunikasi terbesar Malaysia ini begitu sinonim dengan aktiviti dekat kepada kelompok masyarakat. Pengerusi juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Telekom dan berharap akan ada program dan aktiviti lain yang akan diadakan masa hadapan.
Tuan Wira Ayub juga mengucapkan terima kasih atas kesudian KRT Taman Nikmat memberi ruang kepada Telekom Malaysia mengadakan program bersama di bulan mulia ini. Ini merupakan program atau aktiviti sosial agar masyarakat tahu Telekom bukan sahaja menghubungkan masyarakat secara talian, akan tetapi perhubungan antara masyarakat secara hati ke hati itu juga hubungan yang dituntu dalam Islam.

Turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud En. Bisi Bin Jamit, Pengurus TM Kota Belud En. Amidi Bin Darus, Timbalan Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Asran Bin Hj. Suin, Penyelaras Jiran Muda En. Abel Bin Mustapha, Pengerusi Jiran Wanita Puan Nuati Binti Adsad, Kakitangan Telekom Malaysia dan warga KRT Taman Nikmat Kota Belud.








Sabtu, 20 Mei 2017

MAJLIS KENDURI MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN RAMADHAN (MIGANG) DAN DOA SELAMAT PERINGKAT KRT TAMAN NIKMAT KOTA BELUD

KRT Taman Nikmat telah mengadakan majlis kenduri sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan (Migang) yang bertempat di kediaman Pengerusi  KRT Taman Nikmat En. Mahmudin Hj.Mohd Onon.

Menurut Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Mahamudin Bin Hj. Mohd Onon, Sudah menjadi kebiasaan kepada penduduk khususnya di dalam Daerah Kota Belud ini membuat kenduri sebagai tanda menyambut bulan yang besar bagiumat Islam iaitu Bulan Ramadhan. Kedatangan bulan mulia ini dinanti nanti dan ianya juga sebagai tanda kesyukuran untuk diizinkanNya dan dapat beribadat pada bulan Ramadhan.

Terlebih dahulu Solat Maghrib secara berjemaah didirikan dan seterusnya bacaan Yasin berserta doa selamat. Selesai itu, disusuli pula Ceramah Agama pula bertajuk "Istiqlal Ramadhan" yang disampaikan oleh Ustaz Shamsudin Yassin dan diakhiri dengan Solat Isyak secara berjemaah. Selepas itu jamuan makan malam untuk para jemaah dan jemputan.

Turut serta di dalam majlis ini Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud En. Bisi Bin Jamit, Timbalan Pengerusi KRT Taman Nikmat En. Asran Hj. Suin, Bendahari En. Rahim Sahali, Pengerusi KRT Hospital En. Md. Fadli Jumah, Penyelaras Jiran Muda En. Abel Mustapha, Penyelaras Jiran Wanita Pn. Nuati Adsad, AJK Tertinggi KRT Taman Nikmat, Jiran Wanita, Pegawai dari Angkatan Tentera Malaysia Kota Belud Sarjan Anizam Rahim dan Tuan Azran Soud, En Amidi Bin Darus dari Syarikat Telekom Kota Belud, Jiran Muda dan warga KRT Taman Nikmat.